Friday, January 23, 2009

SUATU PEMIKIRAN.......

Apabila.... kita menegur dan mengkritik bukan saja kita mesti bersedia untuk menerima respon balas (dalam bentuk positif atau negatif) dari pihak yang dikritik, tetapi juga kita mestilah jujur dan benar dalam teguran dan kritikan yang dilontarkan. Malah kita juga mesti terikat dengan etika mengkritik sekalipun berhadapan dengan kemungkinan hujah balas yang tidak beretika dan berdisiplin.


Ianya tidaklah bermakna hanya kita yang benar. Berkemungkinan besar kita salah dan silap dalam mengemukakan pandangan dan setiap kali kita berbeza pendapat
dengan pihak lain, apa yang kita harapkan agar Allah menunjuk jalan-Nya yang benar.Inilah prinsip yang mesti kita 'genggam' bersama sedikit nikmat ilmu anugerah Ilahi!!

Tidak senang sebenarnya untuk mengkritik, justeru kritikan adalah melahirkan rasa tidak setuju terhadap pihak lain yang berkemungkinan boleh mengguris perasaannya dan mungkin juga boleh mengendurkan tali persahabatan yang telah lama terjalin. Namun begitu, selamanya kita tidak boleh berdiam diri terhadap suatu yang kita tidak bersetuju dengannya.

Terutama dalam perkara yang melibatkan penyelewengan fakta, kekeliruan maklumat, tuduhan tanpa bukti, fitnah tanpa asas dan keangkuhan yang berpanjangan. Lantaran itu, sebagaimana kita mesti tabah, terbuka dan berhati–hati dalam menatah kalimah bernada kritikan, kita juga sangat mengharapkan pihak lain (yang dikritik) tidak cepat melatah, berjiwa besar, jujur dalam menilai dan apa yang paling penting ialah, tidak menganggap kritikan itu sebagai satu peluru yang membunuh nilai persahabatan dan juga nilai keintelektualan atau maruah diri.

Kita percaya jika yang dikritik itu berkelayakan, sebagaimana ia tidak mudah tewas hujah begitulah seharusnya ia tidak mudah terpengaruh dengan elemen–elemen yang mengheretnya ke medan pergaduhan atau perbalahan yang menimbulkan rasa benci di hati dan kecewa di jiwa. Sebaliknya ia mestilah sangat menghormati kritikan dan pandangan pihak lain biarpun ia menganggap kritikan itu hanyalah hujah picisan atau pandangan yang dangkal (sebab kita boleh tidak menerimanya), justeru menghormati pandangan dan kritikan pihak lain adalah suatu sikap terpuji dan selayaknya itulah penampilan seorang MAHASISWA atau golongan intelek.


الذين يستمعون القول فيتبعون أحسنةأولئك الذين هدا هم الله و أولئك هم أولوا الألباب"
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna." (Surah az-Zumar, Ayat 18)

Sikap tidak menghormati hujah dan kritikan pihak lain hanya mempamerkan keangkuhan dan keegoan diri yang mungkin 'teruja' dengan pencapaian ilmunya atau anugerah keintelektualannya.


Soalnya, apakah hujah dari pihak kita sahaja menepati ciri-ciri ilmiyyah sedang hujah dari pihak lain dinilai picisan biar pun sarat dengan hujah dan dalil? Di sini suka kiranya kita melihat semula pendekatan para sarjana agung dalam sejarah peradaban Islam. (sebagai contoh)Ternyata mereka sangat tinggi disiplin dalam menangani khilaf dalam apa jua isu, terutama dalam isu–isu yang tidak menjejaskan aqidah.

Ilmu dan tawadhu' (merendah diri) menjadi asas disiplin tersebut disamping mereka mengetengahkan adab–adab ikhtilaf yang cukup wibawa dan berkualiti. Lihat sahaja bagaimana imam–imam mazhab mengendalikan khilaf di kalangan mereka. Biar pun mereka menafikan sekeras–kerasnya hujah pihak lain, tidak sedikit pun mencalarkan penghormatannya terhadap orang yang mereka kritik apatah lagi meremehkan hujjah pihak lain.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata terhadap imam As-Syafii;


كانَ أفْقَهُ النَّاسُ فِىْ كِتابِ اللهِ وَ سُنَّةِ رَسُوْلِهِ"


Beliau (Imam As-Syafii) adalah manusia yang paling faqih (paling faham) tentang Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya."Lihat: Tarikh at-Tasyri’ al-Islami. Halaman 312, karangan As-Subki, As-Sais dan Al-Barbari, di ta’liq oleh Dr ‘Alauddin Za’tari.Imam Ahmad bin Hanbal juga ada menyebut;

ما عرفتُ ناسِخَ اْلحَدِيْثِ مِنْ مَنْسُوْخِهِ حَتَّى جَالَسْتُ الشَّافِعِى"


Aku tidak mengetahui nasikh hadis daripada mansukhnya melainkan aku duduk bersama As-Syafii".Lihat: Tarikh at-Tasyri’ al-Islami. Halaman 312, karangan As-Subki, As-Sais dan Al-Barbari, di ta’liq oleh Dr ‘Alauddin Za’tari.


Mereka berkhilaf di atas pentas ilmu yang dihiasi dengan keikhlasan dan ketaqwaan bukan semangat menegakkan benang basah dan bersikap prejudis terhadap pihak lain. Wajarnya disiplin mereka dalam menangani medan perbahasan dan penghujahan ini diterima pakai dalam setiap pertikaian antara kita dewasa kini.

Kita akur, bahawa khilaf tidak mungkin boleh dihapuskan. Terlalu banyak punca dan sebab yang menghala ke arah khilaf. Perbezaan pemikiran dan latar belakang menuntut ilmu sudah cukup meletakkan para ilmuan ini berkhilaf antara mereka. Tahap pencapaian ilmu, perbezaan manhaj dan method, jurang usia, suasana , perbezaan kefahaman dan (maslahah) kepentingan turut menjadi penyumbang penting berlakunya khilaf.



Kita tidak perlu sempit dada dan sesak nafas dengan fenomena ini. Ianya sihat malah terlalu sihat andainya para ilmuan Islam ini dapat menanganinya dengan disiplin khilaf yang tinggi dan baik. Begitulah juga dalam konteks kita sebagai pemimpin dan aktivis MAHASISWA ataupun seorang MAHASISWA di menara gading...salah faham adalah lumrah tetapi yang penting bagaimana kita menjernihkan keadaan dan saling berlapang dada.... =)

No comments:

Post a Comment